Sesungguhnya pandangan manusia terhadap kita itu penting, tetapi memuaskan pandangan mereka semuanya adalah satu tindakan yang "gila'.
Payahnya melangkah sebagai manusia, jika ingin memenuhi kepuasan hati semua orang. Relatif dan pelbagai. Kata pepatah Arab, kepuasan manusia ialah matlamat yang mustahil dicapai.
Nabi memujuk; " Seorang Mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan serta kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada Mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan dan kejahatan masyarakatnya." (Riwayatnya al-Bukhari , al-Tirmizi dan Ahmad).
Ya Allah, kami mengadu kepadaMU dengan sikap manusia yang selalu tergesa-gesa menghukum. Kita tidak perlu membalas sikap keras mereka dengan kekerasan yang sama. Biarlah kita tersalah tidak menghukum daripada tersalah menghukum.
Jika kita salah, kita perlu bersedia membetulkan diri. Jika kita tidak bersalah, kenapa kita perlu menyeksa diri untuk cuba memuaskan hati mereka?
Jika kita mereka ingin melabel dan mengumpat, tersenyumlah. Sedih itu fitrah, tetapi usah bersedih-sedih. Di akhirat nanti, mungkin kita memerlukan mereka untuk memikul dosa kita. Kita juga boleh mengikis pahala mereka. Indah bukan?
(Fatimah Syarha-Solusi Isu 47 2012)
Terima kasih kepada saudari pengarang atas susunan bahasa yang begitu indah yang mampu membasuh jiwa ini agar sentiasa redha dan bertaqwa kepada Allah. Sememangya Allah menguji seseorang manusia itu mengikut kadar yang mampu ditanggung olehnya.